Home » , , , » Kisah Nabi Uzair AS - Dimatikan 100 tahun

Kisah Nabi Uzair AS - Dimatikan 100 tahun

Kisah Nabi Uzair AS dimatikan 100 tahun



Kisah Nabi Uzair AS - Dimatikan 100 tahun

Nabi Uzair a.s, adalah seorang Nabi yang pernah Allah matikan selama 100 tahun dan kemudian menghidupkannya kembali. Nabi Uzair a.s telah keluar daripada kampungnya pada umur 40 tahun kemudian dalam perjalanan bersama keldainya dia telah berehat di bawah sepohon pokok berdekatan dengan tanah perkuburan. 

Dia terlalu asyik berfikir berkenaan dengan bagaimana Allah SWT menghidupkan kembali orang yang telah mati. Lalu, Allah SWT memerintahkan kepada malaikat maut agar mencabut rohnya sedangkan keldai itu masih terikat di situ sehingga mati kelaparan. Dia dimatikan selama 100 tahun. Ramai kaum kerabat dan orang-orang kampung yang mencarinya namun mereka berputus asa, isterinya menangis dengan sangat lama akan kehilangannya. 

Kemudian, pada 100 tahun selepasnya, Nabi Uzair a.s dihidupkan kembali oleh Allah SWT. Apabila dia terjaga daripada tidurnya, dia hanya merasakan bahawa dia tertidur sejak waktu zohor sehingga waktu hendak masuk maghrib. Lalu Allah SWT mengutuskan malaikat. Malaikat yang diutuskan bertanya kepada Nabi Uzair a.s “Berapa lama kamu tidur di sini? Nabi Uzair menjawab; “Saya tinggal di sini sehari atau setengah hari.” 

Kemudian malaikat bersuara “Sebenarnya engkau tinggal di sini selama seratus tahun lamanya.” Nabi Uzair a.s merasa sangat hairan dan semakin bertambahlah imannya kepada Allah SWT. Kemudian malaikat menunjukkannya kepada makanan yang telah dia bawa bersama sebelum ini. Makanan itu juga masih sama berada di keadaannya. Kemudian Nabi Uzair a.s melihat kepada keldainya yang telah mati. Seterusnya, Nabi Uzair a.s memerhatikan kepada keldai itu. Keldai tersebut dihidupkan oleh Allah SWT kembali dengan proses pengembalian otot-otot saraf daging kepada tulang belulangnya kemudian terbentuklah tulang dan rambut.

Setelah itu, roh keldai itu diperintahkan oleh malaikat agar kembali kepada keldai tersebut dan kemudian keldai tersebut bangun berdiri. Nabi Uzair a.s menyaksikan sendiri kejadian itu lalu dia telah mengetahui bagaimana Allah SWT menghidupkan kembali orang-orang yang mati yang telah menjadi tulang belulang dan tanah. 

Setelah melihat kejadian tersebut Nabi Uzair berkata “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Nabi Uzair a.s kemudiannya menunggangi keldainya dan kembali semula ke kampungnya. Namun dia melihatkan suasana yang sangat berbeza daripada keadaan kampung yang telah ditinggalkannya sebelumnya. Rumah-rumah banyak telah berubah dan manusia banyak yang tidak dikenali dan tidak pula ada yang mengenalinya. 

Kemudian, dia mencari seorang lelaki dan perempuan yang telah tua yang berkemungkinan mengenalinya. Setelah mencari, dia bertemu dengan seorang perempuan tua yang telah uzur, dia bertanya sama ada perempuan itu mengenal Uzair. Kemudian perempuan itu menangis dan mengatakan bahawa Uzair telah pergi hilang selama 100 tahun yang lalu. 

Kemudian Nabi Uzair a.s mengatakan bahawa dirinya adalah Nabi Uzair. Maka, wanita itu mengatakan kepadanya bahawa jika benarlah dia adalah Nabi Uzair maka berdoalah kepada Tuhan agar memulihkan penglihatan matanya dan sihatkan dia agar dia dapat mengenali Nabi Uzair. Maka Nabi Uzair a.s memohon kepada Allah SWT. Lalu Allah SWT memperkenankannya dan wanita itu sihat dan mengenali Nabi Uzair a.s sehinggakan dia berlari keluar dengan memberitahu semua orang bahawa Nabi Uzair telah kembali sehingga masyarakat di situ menganggapnya gila. 

Setelah itu, diadakan pertemuan di antara para alim ulama. Majlis itu turut dihadiri oleh cucu kepada Nabi Uzair a.s yang telah berumur 70 tahun sedangkan Nabi Uzair a.s tetap berumur 40 tahun sama seperti dia keluar daripada kampungnya dahulu. Daripada perbincangan yang dijalankan ada seorang yang pandai bertanya bahawa dia mendengar daripada mereka-mereka yang hidup terlebih dahulu bahawa Nabi Uzair a.s adalah seorang Nabi yang menghafal kitab Taurat. 

Mereka telah kehilangan kitab tersebut sewaktu peperangan Bukhtunnashr. Dalam peperangan tersebut, pihak musuh telah membakar dan membunuh para ulama yang menghafal kitab suci itu. Kemudian dia berkata, “Seandainya engkau menghafal taurat. Maka kami akan percaya engkau adalah Uzair.” Sebenarnya sebelum ini Nabi Uzair a.s telah menyembunyikan taurat daripada pihak musuh dan dia tahu bahawa tiada siapa pun daripada kaum Bani Israel yang mampu menghafal taurat. 

Kemudian dia membacakan hafalannya satu persatu di hadapan mereka sampai habis. Kemudian dia berkata “Sekarang aku akan mengeluarkan Taurat yang telah aku simpan.” Nabi Uzair a.s kemudian pergi ke suatu tempat dan mengeluarkan Taurat. Kertas yang terisi Taurat itu telah rosak. Nabi Uzair a.s mengerti kenapa Allah SWT, mematikannya selama seratus tahun. Itu kerana untuk menjaga Taurat. 

Setelah itu telah terjadi satu fitnah yang besar kepada Nabi Uzair a.s dan kaumnya. Ada di antara mereka yang mengatakan bahawa dia adalah anak Allah SWT. “Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair adalah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih adalah anak Allah” Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?” (Sura at-Taubah: ayat 30) 



Share artikel ini:

PERINGATAN! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Catat Ulasan

Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE