Home » , , , , , » Habib Teman Rasullullah Di Syurga

Habib Teman Rasullullah Di Syurga

Habib Teman Rasullullah Di Syurga


Habib antara teman Rasulullah di syurga. Rasulullah mendoakan agar Allah SWT merahmati pengorbanan Habib dan keluarga yang memperjuangkan Islam. Ketika Habib dijadikan utusan untuk menyampaikan surat peringatan kepada Musailamah yang mengaku nabi, beliau telah ditangkap dan dipotong anggota badan kerana tidak mengaku Musailamah sebagai nabi. 

"YA ALLAH, jadikanlah mereka semua teman-temanku di dalam syurga". Inilah antara doa Rasulullah SAW untuk keluarga Habib bin Zaid. Baginda SAW juga pernah mendoakan 'semoga Allah memberkati kalian dan merahmati seluruh ahli keluarga kalian'. 

Ayahnya bernama Zaid bin 'Asim, seorang tokoh kaum Muslimin di Kota Yathrib dan beliau adalah seorang daripada 70 orang yang menyertai perjanjian Aqabah. Bersaksi di hadapan Rasulullah SAW dan memegang erat tangan Baginda, beliau berjanji untuk mempertahankan Rasulullah SAW dan menyanjung tinggi agama yang dibawa Baginda. Perjanjian ini juga disertai oleh Habib pada saat usianya masih kecil. 

Ibu Habib adalah Ummu Umarah, Nasibah al-Maziniyyah. Beliau adalah wanita pertama yang membawa senjata berperang di jalan Allah SWT. Saudara Habib pula ialah Abdullah, insan yang sanggup mengorbankan nyawanya mempertahankan Rasulullah SAW dengan menjadikan dadanya sebagai benteng agar tidak ada panah dan tombak yang boleh menyentuh tubuh Baginda. 

Ketika hayatnya, Habib tidak menyertai peperangan Badar dan Uhud kerana masih kecil. Selepas perang Uhud, beliau menyertai peperangan demi peperangan bersama Rasulullah SAW. Beliau menunjukkan semangat pengorbanan dan perjuangan yang sangat hebat demi mempertahankan Islam. Peperangan demi peperangan yang disertai oleh Habib tidak lain sebagai satu persediaan buat beliau bagi menghadapi ujian yang sangat hebat dalam hidupnya. 

Pada tahun ke- 9 Hijrah, Islam semakin teguh kedudukannya sehinggalah ramai dalam kalangan bangsa Arab mula memeluk Islam beramai-ramai. Mereka datang bertemu Rasulullah SAW dan menyatakan keislaman mereka kepada Baginda. Antara kabilah besar yang datang bertemu Rasulullah SAW ialah kumpulan daripada Bani Hanifah. Kumpulan itu datang dan telah menambat haiwan tunggangan dan haiwan ternakan mereka kepada seorang lelaki, Musailamah bin Habib al-Hanafi. Baginda Nabi SAW telah memuliakan kumpulan itu sehinggakan Baginda memberikan hadiah kepada setiap seorang daripada mereka. Baginda turut menitipkan hadiah buat saudara mereka, Musailamah yang ditinggalkan untuk menjaga haiwan tunggangan dan ternakan. 

Selepas kumpulan itu beredar dan belum sempat tiba di Najad, lokasi tempat tinggal mereka, Musailamah telah murtad dan mengaku bahawa beliau adalah nabi yang telah diutuskan Allah untuk kaumnya, Bani Hanifah. Maka kaumnya mula menyokong dan memotivasikan semangat itu kepada Musailamah. Akhirnya, ramai daripada Bani Hanifah itu murtad dan dikatakan sehingga melebihi 50,000 orang. Ketika sokongan kepada Musailamah bertambah kuat, beliau telah mengutuskan surat kepada Rasulullah SAW yang tertulis:

"Daripada Musailamah, utusan Allah, kepada Muhammad, utusan Allah. Salam sejahtera kepadamu. Sesungguhnya aku berkongsi bersamamu, perintah daripada Allah, dan sesungguhnya bagi kami separuh bumi dan bagi Quraisy separuh bumi. Namun Quraisy adalah kaum yang melampau dan tamak". 

Rasulullah SAW membacanya, lantas Baginda membalas surat tersebut dengan menulis "Dengan nama Allah, daripada Muhammad Rasul Allah kepada Musailamah seorang pendusta. Salam sejahtera ke atas orang yang mahu mengikut hidayah Allah. Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah dan Allah mewariskannya kepada sesiapa sahaja dalam kalangan hamba-Nya yang dia kehendaki. Kesudahan yang baik itu, hanyalah kepada orang yang bertakwa". 

Tatkala surat balas itu tiba kepada Musailamah, maka bertambahlah kebencian dan dendam beliau kepada Rasulullah SAW. Saat kebencian Musailamah memuncak, maka Rasulullah SAW berasakan perlu untuk menghantar peringatan kedua kepadanya. Lalu, Baginda menulis surat dan mengutuskan surat itu bersama dengan utusan Baginda iaitu Habib. Habib pada ketika itu adalah seorang anak muda yang dikatakan sekitar usia 18 tahun. Ketika surat kedua sampai kepada Musailamah melalui utusan Baginda, maka bertambahlah kemarahan Musailamah sehinggakan beliau mengarahkan Habib ditangkap dan diikat untuk dibicarakan. 

Keesokan harinya, Habib diseret dalam keadaan kaki dan tangannya terikat dan dibawa ke tengah khalayak pengikut Musailamah untuk dibicarakan. Wajahnya tampak tenang. Saat Musailamah bertanya kepada Habib, adakah beliau mengakui bahawa Muhammad itu utusan Allah dan Habib mengatakan "Ya", dan apabila Musailamah mengatakan 'Adakah aku juga utusan Allah'? Lantas dengan sinis Habib menjawab "Telinga aku pekak sehinggakan tidak mendengar apa yang engkau katakan". Iman Habib utuh Maka kemarahan Musailamah bertambah dan diarahkan pengawal yang menjaga untuk memotong anggota badan Habib. 

Lalu dipotong pergelangan tangannya lantas jatuh ke bumi. Lalu ditanya perkara yang sama, dan beliau menjawab perkara sama. Lalu dipotong pula pergelangan tangannya yang sebelah lagi. Pertanyaan itu berulang dan setiap kali itu jugalah, jawapan Habib tetap sama. Maka, setiap kali Habib menjawab, maka dipotong anggota badannya sehingga dikatakan dipotong kedua-dua belah tangannya sehingga ke paras bahu. Selepas itu, dipotong juga kakinya sehingga ke paras lutut dan akhirnya Habib menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan tidak ada satu pun daripada belahan pedang yang mampu memisahkan dirinya daripada beriman kepada Allah SWT. 

Begitulah benarnya tahap keimanan sahabat yang benar-benar mengakui bahawa Allah adalah Tuhan Yang Esa dan Muhammad itu pesuruh-Nya. 

Kredit/Sumber: Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany

Share artikel ini:

PERINGATAN! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Catat Ulasan

Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE