Tongkat mukjizat Nabi Musa



NABI Musa adalah anak kepada Imran bin Yashar bin Qaahits. Nasab terakhirnya ialah Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim yang dilahirkan di Mesir ketika pemerintahan Firaun dan bersaudara dengan Nabi Harun.

Kelahirannya mencemaskan kerana ketika itu Firaun atau nama sebenarnya Al-Walid ibnu Mus’ab menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki daripada kalangan Bani Israel yang dilahirkan perlu terus dibunuh.

Tindakan itu diambil kerana dia terpengaruh dengan ahli nujum yang menafsirkan mimpinya mengatakan kuasa pemerintahan Mesir akan jatuh ke tangan lelaki Bani Israel.

Disebabkan khuatir kejatuhan pemerintahannya, Firaun memerintahkan supaya setiap rumah penduduk diperiksa bagi memastikan tiada bayi lelaki.

Jika mendapati bayi lelaki maka perlu dibunuh tanpa sebarang alasan. Musa dilahirkan secara rahsia kerana bimbang turut menjadi mangsa tindakan tidak bertamadun Firaun.

Musa disusui ibunya secara senyap-senyap. Masyarakat tidak mengetahui Musa satu-satunya bayi lelaki Bani Israel yang terselamat daripada kekejaman Firaun.
Apabila usianya tiga bulan, Musa dihanyutkan ke Sungai Nil. Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui segala-galanya.

Kemudian Musa dijumpai isteri Firaun sendiri, Asiah yang membawanya ke istana. Melihat tindakan isterinya membawa Musa yang ketika itu masih bayi ke dalam istana, Firaun dengan pantas menghunuskan pedang untuk membunuh Musa.

Baginya, bayi lelaki tidak boleh dibenarkan hidup. Lalu Asiah merayu kepada suaminya supaya Musa tidak dibunuh dengan berkata: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.”


Mendengar luahan hati isteri tercinta itu, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa. Asiah berasa lega dan amat gembira kerana Musa terselamat.

Dia mencari pengasuh untuk menjaga Musa, tetapi tidak seorang pun yang dapat menjaga Musa dengan baik. Musa asyik merengek dan menangis dan memberikan isyarat tidak mahu disusui.

Tidak lama kemudian, ibunya mendapat tahu Musa berada di istana Firaun lalu tampil untuk memberikan khidmat kepada Asiah. Dialah me­ngasuh dan membesarkan Musa di istana Firaun.

Pada satu hari, Firaun sendiri mendukung Musa yang masih kanak-kanak sehingga tiba janggutnya ditarik menyebabkannya berasa sakit.

Disebabkan tindakan Musa itu, Firaun berkata kepada isterinya: “Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.”

Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa pun.”

Musa tinggal di istana itu cukup lama, sejak usianya tiga bulan hingga dewasa, sehingga orang ramai memanggil dan menggelarkannya Musa bin Firaun.
Nama Musa sendiri diberikan keluarga Firaun. ‘Mu’ bermakna air dan ‘sa’ bermaksud pokok sempena tempat penemuan­nya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.

Pada suatu hari Nabi Musa meninjau keadaan di sekitar kota. Baginda terserempak dengan dua lelaki sedang berkelahi, masing-masing dari kalangan Bani Israel dan bangsa Firaun.

Melihat pergaduhan itu, Musa mahu mendamaikan mereka, tetapi ditepis lelaki berbangsa Firaun itu. Tanpa berlengah Musa terus melepaskan penumbuk ke atas lelaki itu lalu dia tersungkur dan meninggal dunia.

Apabila mendapati lelaki itu rebah dan mati kerana tumbukannya, Musa memohon ampun ke hadrat Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran: “Musa berdoa: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’”

Berita kematian lelaki berbangsa Firaun disebabkan Musa tersebar meluas dan diketahui masyarakat. Baginda turut diketahui pemimpin kanan Firaun lalu mereka mahu menangkap Musa.

Musa melarikan diri dari bumi Mesir menuju ke Madyan berjalan kaki, tanpa bekalan makanan, hanya mengalas perut dengan daun kayu dalam perjalanan selama lapan malam.

Tiba di sana, Musa berehat di bawah pokok dan ketika itu Baginda terlihat dua pengem­bala kambing yang mahu memberi minum ternakan mereka di telaga besar.

Musa memberikan pertolongan kepada dua wanita terbabit. Sekembalinya ke rumah, wanita itu memaklumkan mengenai pertolongan Musa kepada bapanya, Nabi Syuaib. Lalu Musa dijemput ke rumah mereka.

Kemudian, Musa bekerja di rumah Syuaib sebagai pe­ngembala kambing bertahun-tahun sebagai mas kahwin untuk mengahwini seorang daripada anaknya.

Selepas 10 tahun di bumi Madyan, Musa rindu mahu kembali ke Mesir. Baginda memulakan perjalanan ke Mesir dalam keadaan sungguh gelap dan dingin.

Isteri yang mengandung ketika itu sudah sampai waktu untuk bersalin. Musa dalam keadaan bingung, Baginda merenung ke ufuk.

Ketika itu Baginda melihat di Bukit Thur Sina satu cahaya, di sana dia merasakan bakal mendapatkan api untuk memanaskan badan.

Baginda mendekati bukit itu dan merasa gementar manakala anggota badannya bergerak-gerak ketika mendengar Allah berbicara terhadapnya dengan memerintahkannya melepaskan terompahnya.

Kemudian Baginda memasuki lembah suci bukit itu kerana Allah berbicara dengannya menjadikannya utusan dan disuruh bertemu dengan Firaun menyampaikan risalah Allah.

Allah memberikan kepada­nya bukti yang menunjukkan kebenaran kenabiannya iaitu mukjizat dengan tongkat dan tangan.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE