Kisah Ashabul Kahfi



Ashabul Kahfi; tauladan buat pemuda umat ini Pemuda sebagai tunggak kepada kekuatan ummah seharusnya mempunyai aqidah Islam yang teguh, kefahaman Islam yang jitu, akhlak Islam yang mantap dan semangat keislaman yang waja. Pemuda Islam mesti menyedari tanggungjawab mereka sebagai harapan agama dan ummah iaitu;

1.Untuk mengabdikan diri kepada Allah
2.Untuk berkomitmen dengan manhaj Rabbani dan memperjuangkanya.
3.Membantu membangunkan ummah dan negara Pemuda Islam juga harus menyedari asas-asas kekuatan mereka sebagai seorang muslim di mana tanpanya mereka tidak akan mampu merealisasikan tanggungjawab mereka itu.

Asas-asas kekuatan itu ialah;
-Iman yang mantap di dalam jiwa
-Keikhlasan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaanNya
-Keazaman yang kukuh, yang tidak pernah mengenal erti takut, segan dan malu.
-Amal/kerja yang bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa jemu dan malas.
-Pengorbanan yang tinggi yang tidak mengenal kecuali menang atau syahid.


Di dalam al-Quran, Allah telah membentangkan satu kisah untuk tatapan pemuda Islam sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.

Kisah yang kita maksudkan ialah kisah; “Ashabul Kahfi”. Kisah ashabul kahfi adalah kisah yang menonjolkan contoh pemuda yang memiliki segenap ciri Pemuda Islam yang sebenar iaitu;

1.Teguh dengan iman dan prinsip hidup sebagai seorang muslim
2.Yakin kepada diri sendiri
3.Berani berhadapan dengan apa sahaja cabaran
4.Sentiasa bersemangat mengharungi liku-liku hidup
5.Mampu berhujjah mempertahankan pandangan dan prinsip hidup
6.Sanggup berkorban
7.Setiakawan dalam mengharungi cabaran bersama
8.Sentiasa menjaga keta’atan kepada Allah walau dalam suasana mana sekalipun.


Kisah ashabul kahfi (yang bermaksud penghuni-penghuni gua) diceritakan oleh Allah dengan panjang lebar di dalam surah al-Kahfi, bermula dari ayat 9 hingga ayat 26 (iaitu kira-kira 15 ayat). Sebab turun ayat-ayat yang menceritakan kisah dalam surah al-Kahfi ini sebagaimana yang diceritakan oleh ulama’-ulama’ tafsir ialah; “Paderi-paderi yahudi berhasrat untuk menguji Nabi Muhammad s.a.w. sama ada ia benar-benar seorang Nabi atau tidak. Lalu mereka menyuruh orang-orang musyrikin supaya menguji baginda dengan bertanyakan tiga kisah yang ajaib yang berlaku pada zaman dahulu iaitu;

1. Kisah pemuda-pemuda yang bersembunyi dalam gua iaitu kisah ashabul Kahfi.

2. Kisah seorang raja adil yang mengelilingi dunia (timur dan barat) iaitulah Iskandar Zulkarnain.

3. Kisah tentang hakikat ruh.

Setelah 15 hari Rasulullah s.a.w. menunggu, maka turunlah wahyu menceritakan ketiga-tiga kisah tersebut”. Allah memulakan penceritaan dengan membentangkan rasa takjub manusia tentang kisah ini walaupun sebenarnya mereka tidak perlu rasa takjub kerana ia datang dari kudrat Allah, bahkan di sana terdapat banyak lagi tanda-tanda kekuasaan Allah yang lebih hebat dari peristiwa ini (seperti penciptaan langit dan bumi, penciptaan nabi Adam dan sebagainya).

Firman Allah; “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdo`a: "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)

Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas –menurut para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;

1.Maksalmina
2.Tamlikha
3.Martunus
4.Bainunus atau Nainunus
5.Sarbunus
6.Dzunuanus
7.Kasyfitatanunus


Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka. Pemuda-pemuda ini beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya; “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu. Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian.

Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah; “Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh. Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung.

Firman Allah; “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)

Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu. Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah.

Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Alalh menceritakan tentang mereka di dalam gua; “Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11). Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut tahun Hijrah).

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. “Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18) Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan.

Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja. “Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari….”. (al-Kahfi: 19)

Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.

Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu; “Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah.

FirmanNya; “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)

Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah-, namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya. Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.

Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi. “Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya. Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya;

“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: "Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21)

Iblis uji keadilan Nabi Zulkifli

Seseorang yang ditentukan Allah untuk menjadi nabi dan rasul adalah hamba yang terbaik, sabar dan soleh.

Nama nabi Zulkifli adalah di antaranya. Bapa nabi Zulkifli bernama nabi Ayyub. Manakala ibunya bernama Rahmah. Nama sebenar nabi Zulkifli adalah Basyar. Namun, kerana selalu berpegang kepada amanah dan janji, maka baginda digelar Zulkifli. Zulkifli bererti orang yang sanggup. Sejak kecil hingga dewasa dia tidak pernah berbohong kepada sesiapa.

Semua janji yang diucap­kannya sentiasa ditepati sehingga teman dan ramai orang amat senang kepadanya. Baginda terkenal di kalangan masyarakat lantaran tingkah lakunya mencerminkan kebaikan dan kebenaran. Sikap dan pendiriannya tidak mudah goyah. Emosinya mampu dikawal secara baik. Saat ditimpa cubaan dan dirundung masalah, Baginda menerimanya dengan sabar, tanpa mengeluh. Nabi Zulkifli dibesarkan di sebuah negara yang dipimpin seorang raja yang arif dan bijaksana. Raja tidak suka mementingkan dirinya. Semua fikiran, tenaga dan harta kekayaannya ditumpahkan demi wilayah dan bangsa yang dicintainya. Justeru, rakyat hidup dalam aman dan makmur. Sayangnya raja itu sangat tua dan tidak memiliki keturunan. Raja sangat gelisah mengenai penggantinya kelak, termasuk nasib negara dan warganya.


Hampir setiap hari raja memikirkan persoalan itu. Maka, baginda meminta pertimbangan dan berbincang dengan penasihat istana. Akhirnya ditemukan jalan keluar terbaik, iaitu mengada­kan sayembara terbuka dan ia tersebar ke seluruh negara. Sayembara itu untuk memberi kesempatan kepada seluruh rakyatnya agar memimpin negara. Rakyat diminta hadir di istana pada hari dan waktu yang ditentukan.


Saat yang ditunggu tiba. Sejak pagi hari rakyat datang beramai-ramai untuk menyertai sayembara berkenaan.


Nabi Zulkifli adalah antara yang hadir. Kemudian, muncul raja dengan baju kebesarannya dan berdiri di mimbar. Baginda memandang lautan manusia dan mereka mulai diam dalam suasana hening itu. “Wahai seluruh rakyat yang beta cintai, seperti diketahui, usia beta sudah lanjut. “Beta pun tidak mempunyai keturunan yang boleh meneruskan kejayaan kerajaan ini. Beta tidak akan lama lagi berada di antara kalian semua. “Sebagaimana yang berlaku selama ini, titah raja selalu dituruti dan tingkah lakunya diikuti rakyatnya. Maka dari itu, beta akan mengambil seorang daripada kalian yang terbaik. “Syarat utamanya, orang yang akan menggantikan tempat beta adalah orang yang pada siang hari melakukan puasa dan malam hari mengerjakan ibadah.” Demikian kandungan ucapan raja dengan nada yang tegas dan berwibawa. Raja mempersilakan rakyatnya yang sanggup dengan syarat yang diberikan itu agar mengangkat tangan. Namun selepas menunggu beberapa ketika, tidak ada seorang pun yang berani mengangkat tangan. Bagi mereka, syarat itu terlalu berat. Tiba-tiba nabi Zulkifli meng­angkat tangan, melangkah ke hadapan raja, kemudian berkata dengan rendah hati; “Maaf, hamba sanggup menjalankan puasa di siang hari dan mengerjakan ibadah pada malam hari.” Semua yang hadir terkejut, tidak terkecuali raja. Raja tidak yakin kepadanya melihat usia nabi Zulkifli yang masih muda. Raja merenung nabi Zulkifli. Nabi Zulkifli kembali menegaskan; “Wahai tuanku, hamba tidak main-main dengan ucapan hamba. Apa yang tuanku minta akan hamba laksanakan.” Raja terdiam lantas memutuskan untuk menerima permohonan nabi Zulkifli. Malam harinya raja tidur dengan tenang. Sejak itu nabi Zulkifli tinggal di istana. Namun, kemewahan di istana, kilauan permata, hamparan permaidani tidak membuat nabi Zulkifli lupa diri. Beliau tetap hidup sederhana seperti dulu. Menjelang detik kemangkatan raja, baginda berpesan kepada nabi Zulkifli agar menjalankan tanggungjawab yang diamahkan kepadanya.


Nabi Zulkifli bersumpah menjaga amanat itu hingga akhir hayat. Kewafatan raja menimbulkan kedukaan rakyatnya.


Rakyat berharap pemimpin mereka lebih membawa kebaikan, kemakmuran dan kedamaian. Selepas menjadi raja, nabi Zulkifli mulai mengatur jadual berpuasa, beribadah serta melayani rakyatnya sepenuh jiwa.


Nabi Zulkifli bekerja siang dan malam. Seluruh keperluan rakyatnya dipenuhi. Urusan mereka diselesaikan secara baik dan adil tanpa menimbulkan sebarang konflik.


Beliau tidak membezakan orang yang mahu meminta pertolongan. Semua diperlakukan sama rata dengan sabar. Hasilnya, di bawah kepemimpinan nabi Zulkifli rakyat hidup dengan senang dan bahagia. Sejak menjadi raja, nabi Zulkifli makin bertambah kuat ketakwaannya kepada Allah.


Pada satu malam, ketika nabi Zulkifli beranjak ke tempat tidur, pintu katilnya diketuk seorang pembantu istana. Menurut pembantunya, seorang warga datang untuk meminta bantuan. Nabi Zulkifli kemudian menemuinya dengan sikap ramah. Warga itu segera mengadukan persoalannya dengan menundukkan wajahnya. Dia mengaku baru dirompak di tengah perjalanan. Harta bendanya dirampas orang. Nabi Zulkifli mendengarnya dengan penuh kesabaran. Setelah meneliti apa yang disampaikan, nabi Zulkifli berasa ada yang ganjil. Lokasi yang tempat berlakunya peristiwa rompak itu adalah kawasan aman. Di wilayah negeri itu tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu. Nabi Zulkifli kemudian bertanya siapa sebenar­nya tetamu berkenaan. Dia mengaku identiti sebenarnya adalah iblis yang menyerupai manusia. Tujuan kedatangannya itu hanya untuk menguji dan membuktikan kesabaran, kebaikan dan kesolehan Nabi Zulkifli. Kemudian, iblis itu pun menghilangkan diri.

Kilat musnahkan kaum Tsamud

Kaum Ad sudah lenyap dan selepas sekian lama muncul pula kaum Tsamud mendiami negeri yang sama. Negeri yang musnah itu dibangunkan semula hingga menjadi lebih maju daripada sebelumnya dengan hasil bumi melimpah ruah.

Kehidupan kaum Tsamud tidak ubah seperti Ad, tidak mensyukuri nikmat Allah malah dengan bangga dan tinggi diri menonjolkan kekayaan dimiliki. Bagi mereka harta yang dimiliki kekal selama-lamanya. Harta benda dan keseronokan duniawi menyebabkan mereka lupa diri dan Tuhan Yang Maha Pencipta sehingga menjadikan batu sebagai tempat pemujaan. Batu yang disembah itu diberi pelbagai nama seperti Wad, Jad, Syams, Manaf, Manat dan al-Lata. Akidah mereka terpesong, lalu Allah mengutuskan Nabi Salleh untuk menunjukkan jalan kembali kepada kebenaran, iaitu mengakui Allah sebenarnya berhak disembah, bukan batu berhala yang tidak mempunyai sebarang kuasa. Kaum Tsamud yang sudah hidup selesa menolak Nabi Salleh. Segala diucapkan Nabi Allah itu ditentang mereka, malah bagi mereka Salleh terkena ilmu sihir sehingga sanggup mengaku sebagai utusan Allah.

Satu ketika, mereka bersemuka dengan Nabi Salleh untuk melihat bukti kenabiannya. Kalangan mereka mencabar Nabi Salleh dengan berkata: "Jika kamu dapat mengadakan mukjizat, kamu memang benar nabi. Jika tidak, kamu bohong." Kerana dicabar, Nabi Salleh segera berdoa kepada Allah supaya dikurniakan mukjizat. Allah memakbulkan permintaan itu dan memerintahkan Nabi Salleh mengumpulkan kaumnya (Tsamud) di kaki gunung. Di kaki gunung nanti bakal muncul seekor unta betina luar biasa yang cantik, besar dan gemuk malah ia tidak pernah dilihat sebelum ini. Namun, unta itu tidak boleh diganggu sesiapa. Janji Allah ditunaikan dan orang beriman makin bertambah imannya, manakala orang kafir di kalangan kaum berkenaan yang penuh dengan perasaan dengki makin marah, lalu merancang membunuh unta terbabit.

Pemimpin mereka menjadikan wanita muda lagi cantik sebagai perangsang kepada mana-mana lelaki supaya melakukan kerja terkutuk itu. Seorang wanita cantik bernama Shaduq binti Mahya tampil dan dia mahu menyerahkan kehormatannya dengan sepuas-puasnya kepada lelaki bernama Masdak Ibn Hajar dengan syarat lelaki itu membunuh unta terbabit. Di samping itu, seorang perempuan tua derhaka juga menyatakan hasratnya, mahu menyerahkan kehormatan anak gadisnya kepada lelaki bernama Qudar Ibn Salif jika berjaya membunuh unta yang dilarang Allah itu. Berikutan tawaran itu, kedua-dua lelaki terbabit menyahut cabaran membunuh unta berkenaan. Unta itu mati selepas ditusuk dengan pedang hingga terburai susunya.

Masdak dan Qudar sungguh girang kerana membunuh unta itu lalu menemui pemimpin mereka dan masing-masing menagih gadis cantik berkenaan yang dijanjikan sebagai ganjaran. Tindakan membunuh unta itu jelas menunjukkan mereka melampaui batasan. Mereka sengaja mendustakan firman Allah, yang memberikan peringatan kepada sesiapa membunuh unta itu bakal menerima balasan. Mereka pula langsung tidak menyesal atas pembunuhan itu, malah mempersendakan Nabi Salleh. Mereka memanggil seksaan Allah itu. Lalu Nabi Salleh berkata: "Kamu sebenarnya melakukan dosa. Sekarang kamu hanya boleh bergembira tiga hari atas kematian unta itu.

Selepas tiga hari, yang dijanjikan Tuhan akan datang dan bukanlah ini janji palsu." Belum sampai tiga hari, mereka datang lagi kepada Nabi Salleh dengan menghamburkan kata-kata: "Percepatkanlah datangnya seksa yang kamu janjikan itu." Sehari sebelum genap tempoh dijanjikan Nabi Salleh itu, mereka mengadakan mesyuarat tergempar secara rahsia bagi membunuh Nabi Salleh pada malam itu juga, namun utusan Allah itu terselamat. Masa yang dijanjikan sudah tiba. Belum sempat mereka berbuat apa-apa, petir dan kilat sambar menyambar. Berikutan petir itu terlalu kuat, bukan saja mereka, malah rumah dan bangunan yang dirikan mereka turut ranap. Peristiwa kaum Tsamud menerima seksaan itu digambarkan dalam surah al-Haqqah, antaranya berbunyi: "Ada pun kaum Tsamud, maka mereka dibinasakan dengan luar biasa."

Kisah Nabi Musa dan Pemuda beribu bapa babi

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah. Setiap kali dia hendak bermunajat, NabiMusa akan naik ke Bukit Tursina.

Di atas bukit itulah baginda akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tiada pada nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?" Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Selepas beberapa hari dalam perjalanan, Nabi Musa sampai ke tempat itu dan dengan pertolongan beberapa penduduk, Baginda bertemu dengan orang itu. Selepas memberi salam, Baginda dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke bilik dan melakukan sesuatu di dalam sebelum keluar dan membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?” kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.


Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Selepas itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.


Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid," jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu," Kata Nabi Musa.


"Wahai tuan hamba," kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua-dua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka melakukan dosa besar, Allah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh. “Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. “Hari-hari aku berbakti kepada ibu bapaku seperti mana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka babi, aku tetap melaksanakan tugasku.


"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia sebenar tetapi Allah belum memakbulkan," tambah pemuda itu lagi.


Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa, “Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti kerana berbakti kepada ibu bapanya. “Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami." Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Oleh kerana dia berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat ibu bapanya yang Kami sediakan di neraka, Kami pindahkan ke syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke neraka pindah ke syurga. Ini hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.


Walau bagaimana buruk sekali pun perangai ibu bapa kita, itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.


Doa anak yang soleh akan membantu ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan ibu bapa di alam kubur.


Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak kepada ibu bapanya ialah dengan doanya supaya mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Nabi Idris naik ke langit

Diriwayatkan Nabi Idris naik ke langit pada hari Isnin. Firman Allah bermaksud: “Dan ceritakanlah (Wahai Muhammad kepada mereka) kisah, Idris di dalam al-Quran.

“Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” (Surah Maryam ayat 56-57). Nama sebenar Nabi Idris ialah ‘Akhnukh’. Baginda dinamakan Idris, kerana banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah. Setiap hari Nabi Idris menjahit qamis (baju kemeja) dan apabila memasukkan jarum, Baginda mengucapkan tasbih. Selepas baju itu siap, ia diserahkan kepada orang yang menempah tanpa meminta upah. Dalam keadaan itu, Nabi Idris masih mampu beribadah dengan amalan yang sukar digambarkan sehingga Malaikat Maut amat rindu berjumpanya. Lalu Malaikat Maut bermohon kepada Allah menemui Nabi Idris. Selepas memberi salam, malaikat pun duduk. Nabi Idris mempunyai kebiasaan berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka, datanglah malaikat dari syurga membawa makanan lalu Baginda menikmati makanan itu. Baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu. “Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama.” Tetapi malaikat itu menolaknya. Nabi Idris terus melanjut­kan ibadahnya, sedang­kan Malaikat Maut setia menung­gu sampai terbit matahari. Nabi Idris hairan melihat sikap malaikat itu. Kemudian baginda berkata: “Wahai tuan, mahukah bersiar-siar bersama saya melihat keindahan alam sekitar?” Malaikat Maut menjawab: “Baiklah wahai Nabi Allah Idris.” Maka, berjalanlah mereka melihat alam persekitaran dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris: “Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya mengambil ini untuk dimakan?” Nabi Idris pun menjawab: “Subhanallah, mengapa malam tadi tuan enggan makan makanan halal, sedangkan tuan mahu memakan yang haram pula?” Kemudian Malaikat Maut dan Nabi Idris meneruskan perjalanan mereka. Tidak terasa mereka bersiar-siar selama empat hari. Selama bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa keanehan Malaikat Maut. Segala tindak-tanduknya berbeza dengan sifat manusia biasa. Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahu. Baginda bertanya: “Wahai tuan, bolehkah saya tahu, siapakah tuan sebenarnya?” “Saya adalah Malaikat Maut.” “Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa makhluk?” “Benar ya Idris.” “Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan akan mencabut nyawa makhluk?” “Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang saya cabut. Roh makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap makanan.” “Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah atau mencabut nyawaku?” “Saya datang menziarahimu dan Allah mengizinkan niatku itu.” “Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohon kepada Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah selepas merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu.” Malaikat Maut menjawab: “Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang melainkan de­ngan izin Allah.” Lalu Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut, agar mencabut nyawa Idris. Maka tercabutlah nyawa Idris saat itu dan Baginda merasakan kematian. Ketika melihat kematian Nabi Idris, Malaikat Maut menangis. Dengan rasa hiba dan sedih, dia bermohon Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan Allah kembali. Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan bertanya: “Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut itu?” “Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya.” Padahal ke­lembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan.” “Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai permintaan iaitu saya teringin melihat neraka, supaya dapat beribadah kepada Allah lebih banyak selepas menyaksikan dahsyatnya api neraka itu.” “Wahai Idris, saya tidak dapat ke neraka tanpa izin Allah.” Akhirnya Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut agar ia membawa Nabi Idris ke neraka. Di neraka itu, Nabi Idris melihat semua yang diciptakan Allah untuk menyeksa musuh-Nya seperti rantai panas, ular berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok yang penuh berduri serta air panas mendidih. Selepas itu, mereka pun pulang. Nabi Idris berkata: “Wahai Malaikat Maut, saya berhajat agar tuan membawa saya ke syurga supaya dapat melihat apa-apa yang disediakan Allah bagi kekasih-Nya. Ini dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah. “Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke syurga, tanpa perintah dari Allah,” jawab Malaikat Maut. Lalu Allah memerintahkan Malaikat Maut membawa Nabi Idris ke syurga. Mereka sampai di pintu syurga dan melihat ­pemandangan di dalamnya. Baginda melihat segala macam kenikmatan disediakan Allah untuk wali-Nya seperti buah-buahan, pokok yang ­indah dan sungai yang mengalir.

Kemudian Nabi Idris berkata: “Wahai saudaraku Malaikat Maut, saya merasakan pahitnya maut dan saya melihat dahsyatnya api neraka. “Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api neraka?” Malaikat Maut pun bermohon kepada Allah. Kemudian Allah memberi izini. Nabi Idris masuk ke syurga dan meletak kasutnya di bawah salah satu pohon lalu keluar dari syurga. Apabila di luar, Nabi Idris berkata: “Wahai Malaikat Maut, aku meninggalkan kasutku di syurga.” Malaikat Maut pun berkata: “Masuklah ke syurga, dan ambil kasut tuan.” Maka masuklah Nabi Idris, namun Baginda tidak keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya: “Ya Idris, keluarlah!” “Tidak, wahai Malaikat Maut, kerana Allah SWT berfirman bermaksud: Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Surah Ali-Imran ayat 185). “Sedangkan saya merasakan kematian. Dan Allah berfirman yang bermaksud: Dan tiada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. (Surah Maryam ayat 71). “Dan saya pun mendatangi neraka itu. Dan firman Allah lagi yang bermaksud: ... Dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya (syurga).” (Surah Al-Hijr ayat 48). Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut itu: “Biarkanlah dia, kerana Aku menetapkan di azali, bahawa tempat tinggalnya di syurga.”

Nabi Adam diarak malaikat selama 100 tahun

Pada suatu ketika, Allah menitahkan malaikat Jibrail ke bumi mengambil sebahagian tanahnya mencipta Adam.

Tetapi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi bimbang Adam berbuat maksiat kepada Allah.

Lalu Jibrail kembali menemui Tuhan, ia tidak dapat berbuat apa-apa, mendengar sumpah bumi. Kemudian, Allah memerintah malaikat Mikail, jawapan bumi tetap sama dan Allah menitah pula malaikat Israfil, tetapi bumi masih enggan dan masing-masing kembali dengan tangan penuh hampa.

Lalu yang terakhir, Allah menyuruh malaikat Izrail ke bumi. Kata Allah: " Hai Izrail engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah.

Meskipun bumi menyumpah dengan ucapan bagaimanapun jangan engkau undur. Katakan kamu melakukan atas perintah dan atas nama-Ku."

Apabila Izrail ke bumi dan menyampaikan perintah Allah, bumi akhirnya akur tanahnya diambil.

Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, dia kembali ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman: "Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah, dan kelak Ku-tugaskan engkau mencabut roh manusia."

Maka Izrail bimbang dibenci manusia. Lalu Allah berfirman: "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku Yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh, terbakar atau sakit."

Tanah bagaimana dijadikan Adam?
1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Mugaddis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah (Babylon)
10. Tanah India
11. Tanah syurga
12. Tanah Tha'if

Kata Ibnu Abbas :
1. Kepala Adam dari tanah Baitul Muqadis, kerana di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah.
4. Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.
8. Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.
9. Perutnya dari tanah Babylon. Di situlah tempat seks (berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
11. Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.
12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situlah iman, keyakinan, ilmu dan kemahuan.
13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap syahadah, bersyukur dan mendoakan kepada Tuhan.

Bagaimanakah prosesnya :
1. Ketika Allah menjadikan Adam, tanah itu bercampur air tawar, air masin, air hanyir, angin, api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan pelbagai macam "sifat".
2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan di dalam "Alam Malakut".
3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari sifat nur sifat Allah, dan dirasmi dengan air hujan "Barul Uluhiyah".
4. Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air "Kudral-Izzah-Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal". Lalu diciptakan menjadi tubuh Adam yang sempurna.
5. Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk ke tubuh Adam, ia malas dan enggan, malah berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar.
Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk, akhirnya ia menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam masih di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit kita sekarang ini.

Kerana Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia.

Hal ini kita biasa lihat meskipun orang kulitnya hitam, warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang.

Tujuh buah liang di kepala dan dua liang di bawah badan letaknya.
Tujuh buah letaknya di kepala: dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut.

Yang dua macam di bawah: sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima pancaindera:
1. Mata alat penglihatan
2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat perasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.

Selepas roh masuk tubuh Adam perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.

Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail memasukkan roh ke tubuh Adam. Dahulu Izrail ditugaskan mengambil tanah untuk Adam, dan kini mencabut nyawa manusia.

Selepas meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusun urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kiri dan ke kanan.

Dan juga melihat ke bawah di mana bahagian badannya masih adalah tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia.
Ketika itu Adam mendengar malaikat mengucapkan tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan. Ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka.

Ketika itulah Allah mengajarnya mengucap Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam yang pertama kepada Allah.

Lalu Allah berkata: "Yarkhamukallah" yang ertinya: "semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan
"Yarkhamukallah".

Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal bahagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras.

Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa".

Maka, ketika roh itu sampai di perutnya, terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasa lapar.

Kemudian terus roh itu meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, kian lama kian bagus dan halus.

Apabila kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah adalah jenis makhluk manusia yang pertama.

Wajahnya cukup cantik, semua malaikat kagum melihat Adam yang menawan. Adam diarak malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni langit pertama hinggalah ketujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE